PENULISAN REFLEKSI
Alhamdulillah dan bersyukur ke hadrat
Ilahi kerana dengan limpah rahmatNya, saya dapat menyiapkan tugasan kerja
kursus ini secara individu. Tugasan ini merupakan tugasan kali pertama yang
saya lakukan setelah mendaftarkan diri di Institut Pendidikan Guru ini. Saya
mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pensyarah saya dan juga pertolongan
daripada rakan-rakan saya mengenai ilmu pengetahuan dan pembelajaran bagi mata
pelajaran ini.
Sebelum memulakan tugasan ini, saya telah
merujuk kepada pensyarah bimbingan saya iaitu Encik Hamzah bin Dollah. Saya telah
mendapat gambaran awal mengenai tugasan ini. Melalui taklimat yang diberikan tentang
tugasan subjek ini, saya telah merangka sedikit sebanyak jalan kerja yang ingin
saya lakukan. Semasa melaksanakan tugasan ini, saya menghadapi pelbagai masalah
dan cabaran dalam mendapatkan maklumat sebagai sumber rujukan dan bahan untuk
membuat tugasan ini. Bagi mendapatkan bahan-bahan rujukan tersebut, saya telah mengunjungi
pusat sumber IPG dan juga perpustakaan awam negeri. Saya telah mendapat
beberapa buah buku yang berkaitan dengan tajuk bagi memudahkan lagi proses
menyiapkan tugasan ini. Saya mengambil inisiatif dengan membaca dan mengetahui
kehendak tugasan yang diberi dan setelah itu, saya mencari maklumat yang berkaitan dengan
definisi dan juga konsep menggunakan dan mengendalikan internet dan lain-lain
sebagai rujukan.
Melalui tugasan ini, saya banyak belajar perkara baharu tentang pembuatan
blog dan cara mengendalikan Microsoft Excel. Kerja kursus ini banyak mengajar
tentang perkembangan teknologi pada masa sekarang. Kini, saya lebih yakin menggunakan
teknologi pada masa sekarang berbanding dahulu kerana sebelum ini saya kurang
mengetahui pelbagai kegunaan teknologi. Melalui kerja kursus ini, saya akhirnya
lebih pandai dalam mengendalikan kemudahan teknologi melalui perisian komputer
iaitu seperti Microsoft Word, Microsoft Excel dan Microsoft PowerPoint.
Sepanjang menyiapkan tugasan
ini, terdapat pelbagai permasalahan yang saya tempuhi. Antaranya ialah kekangan
masa di mana saya terpaksa membahagikan masa antara waktu belajar dengan waktu
membuat tugasan. Namun, saya berasa sungguh bersyukur kerana tempoh tugasan
yang diberikan agak lama dan memudahkan saya untuk membahagikan masa antara
waktu belajar dengan tugasan-tugasan dalam subjek ini. Oleh itu, saya sedar
bahawa pengurusan masa amat penting terutama sebagai pelajar dan juga bakal
menjadi seorang guru dalam melatih saya untuk berdisiplin melakukan apa-apa
sahaja tugasan yang diberi.
Tambahan lagi,
penulis kini telah mempunyai blog tersendiri hasil daripada kerja kursus subjek
Kemahiran Belajar. Membuat blog merupakan sebahagian daripada kerja kursus ini.
Penulis meluangkan masa yang lama dalam mereka dan menyiapkan blog serta
memenuhi segala kriteria yang ditekankan oleh pensyarah. Blog tersebut
bertujuan untuk mempamerkan dan berkongsi tentang subjek Kemahiran Belajar.
Tugasan ini amat mencabar kerana ia memerlukan kesabaran, perhatian, teknik dan
pembacaan yang teliti.
Di sini, saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk
mempelajari semua ilmu mengenai kemahiran belajar sama ada dalam teknologi
maklumat dan komunikasi mahupun kemahiran-kemahiran belajar yang dapat
diadaptasikan ke dalam sesuatu tugasan serta kerja-kerja lain dalam mata
pelajaran ini kerana semua ilmu ini pasti sangat membantu saya dalam kerjaya
perguruan ini nanti. Oleh hal yang demikian, ilmu yang diperolehi oleh
guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru perlu diaplikasikan dalam
kehidupan sebenar di mana bukan sahaja fokus kepada subjek utama malahan subjek
sampingan seperti subjek Kemahiran Belajar ini yang mengutamakan pengetahuan
mengenai ICT dan lain-lain lagi.
Tuntasnya, pelbagai kelebihan dan kelemahan yang ditemui dalam
menyiapkan tugasan kerja kursus ini. Sehubungan dengan itu, kelebihan yang
diperolehi itu hendaklah dijadikan amalan manakala kelemahan pula seharusnya dijadikan
pengajaran dan sempadan kepada diri saya kelak. Saya berasa lega dan amat bersyukur
kerana saya dapat menyiapkan tugasan dengan jayanya dan saya juga mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah serta
rakan-rakan yang telah memberi kerjasama dan bantuan yang tidak terhingga dalam
melaksanakan tugasan ini. Oleh itu, saya berharap agar hasil penulisan kerja
kursus saya ini diterima dan menepati kehendak serta piawaian yang ditetapkan
oleh pihak pensyarah dan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment